Pages

Sunday, January 16, 2011

Interlok dan kasta - Kasta 1

Awang tersentuh membaca laporan eksklusif Utusan Malaysia terbitan Selasa lalu dengan memaparkan gambar Sasterawan Negara, Abdullah Hussain mengesat air mata.

Abdullah, 91 yang kini uzur tidak dapat menahan kesedihan apabila bercakap tentang novel Interlok, karya beliau yang mencetuskan kontroversi. Interlok telah diterbitkan 40 tahun lalu dan novel itu dijadikan buku teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia bermula tahun lalu. Bagaimanapun ia menerima bantahan daripada pihak-pihak tertentu kaum India kerana penggunaan perkataan paria.


Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain


Kemuncaknya novel itu turut dibakar oleh sekumpulan penduduk kaum India di Kelang baru-baru ini. Perbuatan tersebut mengundang kemarahan banyak pihak yang menyifatkannya sebagai biadap. Awang tidak berminat untuk memanaskan isu ini kerana dua faktor.

Pertama, bantahan terhadap Interlok bukan mencerminkan sikap, pendirian dan pemikiran keseluruhan masyarakat India. Ramai juga tokoh, ahli akademik dan pemimpin NGO India tidak melihat Interlok menyentuh sensiviti kaum itu. Di antara mereka ialah Persatuan Penaja Dinamik India 1Malaysia, S. Kumaravel; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kemasyarakatan USM, Prof. Madya Dr. Siva Murugan Pandian; Umapagan Ampikaipan dan Baradan Kuppusamy. Beberapa tokoh kaum Cina antaranya Presiden MCA, Chua Soi Lek dan penulis terkemuka, Lim Swee Tin turut mempertahankan Interlok kerana ia bukan suatu penghinaan kaum. Interlok adalah novel yang memperihalkan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20 dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia mengisahkan kehidupan kaum Melayu, Cina dan India yang diceritakan dalam bentuk mozaik budaya tetapi akhirnya menjurus kepada penyatuan.

Kedua, Awang yakin kerajaan terutama Kementerian Pelajaran tidak akan tunduk dengan provokasi dan ugutan segelintir pihak. Gelombang sokongan pelbagai pihak terutama NGO terhadap Interlok, jangan diambil mudah. Ia adalah isyarat jelas mahukan karya Sasterawan Negara itu dipertahankan. Awang percaya isu tersebut mampu diselesaikan menerusi dialog pihak tertentu dengan Kementerian Pelajaran seperti yang diputuskan. Namun semua pihak perlu berlapang dada dan menerima realiti tanpa dibuai sentimen perkauman sempit. Janganlah korbankan karya sastera yang murni hanya kerana politik.

Interlok


Kasta 1

Kontroversi novel Interlok mempunyai hikmah tersendiri. Selepas isu itu panas, karya kesusasteraan Melayu bagaikan mendapat perhatian baru. Apatah lagi Interlok. Lagi dibakar, dipijak dan dibantah, lagi ramai kini mencari novel tersebut sehingga khabarnya ia terpaksa dicetak semula.

Tetapi hikmah lebih besar ialah perlunya renungan semula terhadap isu kasta di kalangan masyarakat India di negara ini. Awang menerima SMS daripada seorang sahabat kaum India yang menulis: ‘‘Mungkin istilah paria itu sensitif bagi kebanyakan orang India. Baguslah begitu jika kita (kaum India) sensitif tetapi sedarkah betapa masyarakat India secara realitinya dipisahkan oleh sistem kasta.”

Rupa-rupanya isu kasta dalam diam membelenggu ramai penduduk kaum India. Harapan mereka agar sistem itu akan terhapus, dan usaha ke arah itu perlu bermula daripada sekarang.

Menurut sahabat Awang itu, kini terdapat banyak pertubuhan kasta yang didaftarkan di negara ini. Malah segala aktiviti pertubuhan kasta dilaporkan dengan terbuka oleh akhbar Tamil saban hari. Peliknya akhbar Tamil yang sama kelihatan ‘memperjuangkan’ kepentingan kasta menerusi kemelut Interlok sedangkan mereka sendiri yang memberi ruang untuk memisahkan jurang antara masyarakat India melalui penyebaran berita pertubuhan kasta-kasta tertentu. Dalam politik, kasta masih menjadi percaturan utama di kalangan pemimpin politik. Selepas pemecatan mendiang Tan Sri M.G Pandithan, berapa ramai pemimpin kasta bawahan yang berjaya diberi peluang dalam kepimpinan tertinggi MIC?

Ini semua disebabkan ketaksuban kepada amalan kasta. Berapa ramai pula pemimpin yang menggunakan nama kasta di belakang nama mereka? Kalau mahu menghapuskan secara menyeluruh - bangkitlah untuk menghapuskan semua pertubuhan kasta di negara ini. Jangan hanya pandai menuding jari kepada Interlok.

Menurut Ensiklopedia Malaysiana, kasta bermaksud suatu sistem stratifikasi yang berasaskan kepada tradisi di India. Satu kasta adalah satu lapisan masyarakat yang berasaskan kepada warisan. Masyarakat Hindu tradisi terbahagi kepada kasta utama iaitu Brahmin (bangsawan), Kshatriya (pahlawan), Vaishya (pedagang) dan Sudra (petani), dengan golongan Harizan sebagai kasta terbawah sekali.

Antara ciri-ciri utama sistem kasta seperti yang diamalkan dalam masyarakat Hindu tradisi ialah keanggotaan ditentukan secara warisan iaitu status seseorang individu dan dilahirkan dalam sesuatu kasta tertentu tidak dapat diubah. Perkahwinan dibenarkan sesama anggota kasta yang sama. Jenis pekerjaan juga boleh dikaitkan dengan kelompok kasta tertentu. Sistem kasta mempunyai hubungan sosial yang ketat. Misalnya anggota daripada kasta yang berlainan tidak dibenarkan makan di tempat yang sama. Interaksi golongan kasta tinggi dan rendah juga tidak boleh terbuka dan sama rata. Golongan kasta tinggi biasanya memandang rendah kasta paling bawah. Ia bermakna mobiliti sosial yang cukup terhad. Inilah juga antara punca mengapa yang miskin terus kekal miskin, yang kaya bertambah kaya. Seorang pakar sosiologi, Oliver Cox pernah menulis bahawa sistem kasta tidak sesuai diamalkan di luar negara India. Pada Awang, dalam soal kasta ini, musuh orang India adalah kaum India itu sendiri, bukannya kaum lain.

Awang juga hairan pada ketika ramai ahli politik, pemimpin NGO dan peguam kaum India lantang memperjuangkan soal demokrasi dan kebebasan sehingga kerap juga membuat tuduhan liar dan tidak berasas kepada kerajaan, mereka sebaliknya membenarkan kaum India terpenjara dengan sistem kasta. Demokrasi mesti bermula dengan sistem masyarakat yang adil untuk sesuatu kaum itu sendiri. Sudah terbukti sistem kasta menekan rakyat dan turut menjadi penghalang kepada kemajuan kaum India secara keseluruhannya. Janganlah berapi-api mahukan kebebasan tetapi masih terikat kuat dengan sistem kasta yang menghimpit golongan bawahan.

Sebab itu Awang tertarik dengan kenyataan Presiden penaja Persatuan Dinamik India 1Malaysia, S. Kumaravel bahawa masyarakat India perlu menerima realiti sejarah tentang wujudnya sistem kasta dalam budaya kaum itu. ‘‘Jika tidak wujud sistem kasta, mengapa dibenarkan persatuan yang mewakili setiap kasta beroperasi secara aktif di negara ini.

Malah dalam hal perkahwinan masyarakat India hari ini pun, perkara berkaitan kasta masih kuat diamalkan,” tanya beliau.

Awang percaya ramai pemimpin kaum India sedar bahawa sistem kasta tidak lagi relevan tetapi pada masa yang sama sebahagian daripada mereka masih mengamalkan sistem tersebut. Parti-parti politik kaum India juga dikatakan tidak serius untuk membebaskan masyarakatnya daripada bebanan sistem kasta. Sebab itu, ramai penduduk India di negara ini kurang yakin kepada parti-parti politik mereka untuk menamatkan amalan sistem tersebut. Jadi salah siapa?

Sumber : Awang Selamat (utusan.com.my)

No comments:

Post a Comment